Jenazah Mohamad Ramli Ibrahim, 65, serta dua beradik, Norshariza Hafiza Samsudin, 14, dan Nor Shafia Hafiza, 16, selesai dikebumikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Jenazah dikebumikan di dalam liang lahad berasingan.

Terdahulu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Jamiul Khir Tong Pelu, Pedu.

Kira-kira 1,000 orang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah tiga sekeluarga tersebut.

Kosmo! Online semalam melaporkan kegembiraan seorang datuk berkelah bersama dua cucu perempuannya di Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena di sini berakhir duka apabila kesemua mereka ditemui mati lemas akibat dihanyutkan arus deras selepas pintu Empangan Pedu dibuka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Mohamad Ramli Ibrahim, 65, terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan dua cucunya Norshariza Hafiza Samsudin, 14, dan Nor Shafia Hafiza, 16, serta rakan cucu dikenali sebagai Hanis yang lemas.

Cubaan Mohamad Ramli untuk menyelamatkan dua cucunya itu bagaimanapun gagal apabila ketiga-tiga mereka ditemui mati lemas.

Remaja perempuan, Hanis bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung. - K! ONLINE