Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memimpin perarakan membawa jenazah Almarhumah bondanya dari Istana Besar Johor Bahru.

Turut mengiringi baginda, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Keranda Almarhumah turut diangkat cucunda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Shah bersama-sama adindanya, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Sebelum itu, jenazah bonda Sultan Johor diarak keluar dari Istana Besar di sini pada pukul 10.25 pagi tadi.

Istiadat pemakaman Almarhumah Hajah Khalsom diadakan separuh Istiadat Kemangkatan Diraja dan jenazah diusung turun melalui Tangga Agung pukul 10.15 pagi sebelum ditarik sebuah pedati khas membabitkan 40 Askar Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar sejauh 2.8 kilometer ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Jenazah Almarhumah bonda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu akan dimakamkan sebaris dengan makam cucunda baginda, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang meninggal dunia akibat kanser pada 5 Disember 2015. - K! ONLINE