Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.

Katanya, ini berikutan lawatan tersebut adalah bersifat kerja dan tidak perlu melibatkan keluarga khususnya isteri.

"Antara garis panduan yang ditetapkan adalah sekiranya lawatan kerja kurang tujuh hari hanya dua pegawai sahaja dibenarkan mengikuti menteri tersebut.

"Kalau (menggunakan) perbelanjaan sendiri dan lawatan kurang tujuh hari, boleh menteri tersebut bawa (isteri)," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Bicara Minda bertajuk Kesejahteraan Untuk Semua Bersama beliau di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini hari ini.

Mohamed Azmin memberitahu, bagaimanapun arahan tersebut tidak tertakluk kepada Perdana Menteri berikutan isterinya perlu menjalankan tugas sebagai isteri Perdana Menteri di negara yang dilawatinya.

Ujar beliau, jemaah menteri hanya dibenarkan membawa pasangan sekiranya lawatan kerja itu melebihi tujuh hari.

Beliau menambah, walaupun perkara ini nampak kecil namun ia membabitkan budaya kerja selain langkah penjimatan perbelanjaan awam.

"Kita pergi untuk bekerja bukan bercuti, shopping, dan bermain golf.

"Saya tahu ketika saya dalam kerajaan suatu ketika dahulu, jika persidangan pada hari Isnin, mereka akan datang tiga hari lebih awal untuk bermain golf dan isteri mereka pergi shopping. Tiga hari selepas persidangan tamat baru mereka balik.

"Namun, sekarang kita sampai pada hari persidangan dan habis persidangan, terus balik. Itu jaminan kerajaan hari ini untuk jimatkan perbelanjaan kerana ini wang rakyat," katanya. -K! ONLINE