Ini bermakna, Akhyar berpeluang beraksi bersama skuad Harimau Selatan bagi Liga Malaysia (Liga M) 2019 meskipun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) enggan memberi surat pelepasan sehingga sekarang.

JDT telah menghantar senarai awal pemain termasuk Akhyar pada 7 Januari lalu kepada MFL, namun status penyerang tersebut masih berada dalam senarai menunggu sebelum mendapat status pendaftaran tetap.

Kevin menjelaskan, Akhyar masih berada dalam senarai menunggu ekoran masih kekurangan dokumen surat pelepasan yang perlu dikeluarkan oleh KFA dalam tempoh 14 hari, bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai bidang kuasa mengeluarkan surat tersebut jika Kedah enggan melakukannya.

“Berdasarkan peraturan sedia ada, tiada sebab pemain tidak boleh didaftarkan jika ada keputusan yang mengatakan dia bebas daripada mana-mana pasukan. FAM boleh meluluskan pendaftarannya jika pemain tersebut memegang status ejen bebas.

“Pada mulanya dia didaftarkan sementara selama 90 hari tetapi dalam tempoh tersebut, pertukaran status pemain boleh berlaku jika isu itu dipanjangkan dan berlaku keputusan lain.

“Namun, jika tiada apa-apa perubahan selepas 90 hari, ia sudah menjadi pendaftaran kekal. Jika sebelum bermulanya Piala Sumbangsih tiada apa-apa keputusan yang menentang, maka Akhyar boleh diturunkan dan bermain seperti biasa,” katanya selepas pertemuan MFL dengan KFA di Damansara, Kuala Lumpur hari ini.