Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, jawatankuasa itu juga akan bermesyuarat bagi mengemukakan satu model baharu berhubung penamatan perjanjian konsesi Bernas yang akan berakhir pada 2021.

"Model tersebut akan dibawa dan dibincangkan di Kabinet, selepas itu akan dihuraikan kepada rakyat dan semua yang berkepentingan, bagaimana operasi model baharu tersebut setelah (perjanjian bersama) Bernas ditamatkan.

"Kita akan melihat kepada keputusan Bernas itu sendiri kerana konsesinya akan tamat pada 2021, terpulang kepada Bernas namun akan ada siri rundingan dan konsultasi antara kementerian, jawatankuasa khas dan Bernas," katanya selepas menjadi tetamu dalam program Temu Bual Eksklusif Bernama Radio di sini, hari ini.

Salahuddin sebelum ini dilaporkan berkata penamatan monopoli Bernas akan membentuk pasaran yang lebih terbuka kepada hasil padi dan beras di negara ini, antara lain dengan mewujudkan persaingan yang sihat antara syarikat yang terlibat dalam industri padi dan beras negara. - Bernama