Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata langkah bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM (Trust Deed).

"Pihak Kementerian Kewangan dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun itu sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara.

“Jumlah sumbangan ini akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, THM yang dilancarkan pada 30 Mei tahun lalu itu berjaya mengumpulkan sebanyak RM202,716,775.10 berdasarkan baki akhir setakat 14 Januari lepas.

“Berdasarkan kepada maklum balas positif dan keprihatinan rakyat Malaysia, kerajaan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari lalu memutuskan untuk melanjutkan tempoh pemberian sumbangan selama dua minggu lagi iaitu berakhir pada 14 Januari lalu.

“Sumbangan yang dibuat selepas tempoh itu tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang," katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, sumbangan yang diberikan kepada THM memberikan semangat kepada kerajaan untuk berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sudah memberikan sumbangan kepada THM.

“Sumbangan mereka mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang mereka terhadap tanah air yang dicintai,” katanya. - K! ONLINE