Jurucakap JAS Kedah berkata, surat perintah larangan itu yang berkuat kuasa pada 5 Januari lalu ditampalkan di kawasan pembalakan itu bagi memastikan syarikat terlibat tidak lagi menjalankan kerja-kerja tanah di kawasan tersebut.

"Perintah larangan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 34AA (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2012.  

"Surat perintah larangan itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, JAS Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim," katanya di sini hari ini.

Jurucakap JAS itu berkata, pihaknya menampal tiga surat perintah larangan itu di sekitar kawasan pembalakan tersebut hari ini.

Menurut jurucakap itu, perintah larangan itu akan berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh penarikan balik yang akan diberitahu kelak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Chong, Achiang Al Endin Nai Peng berkata, tindakan JAS itu sangat dialu-alukan untuk memastikan keadaan aliran air yang keruh dapat dikurangkan selepas ini.

Katanya, penduduk di sini juga bimbang berlaku banjir lumpur sekiranya hujan lebat.

"Saya berterima kasih kepada JAS, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan kerajaan negeri yang prihantin dengan rungutan penduduk di sini," katanya. - K! ONLINE