Ketua Polis Kuala Selangor, Superintendan Mohd Asri A. Wahab berkata, penularan video serta mesej bersuara melalui laman sosial yang mengaitkan kejadian itu dengan unsur perkauman adalah amat tidak bertanggungjawab dan bakal mengundang kegusaran dalam kalangan masyarakat sekitar.

"Saya ingin tegaskan bahawa keadaan keselamatan di daerah Kuala Selangor khususnya di Jeram adalah terkawal dan masyarakat masih terus menjalankan aktiviti seperti biasa.

"Mana-mana individu yang didapati cuba mencetuskan suasana tidak harmoni dan kegentaran kepada pihak awam sama ada melalui perbuatan atau hebahan maklumat salah boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU)  ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki menyebabkan urat tangan kirinya putus.

Serangan dikatakan berpunca daripada tindakan rakan mangsa  menegur  sekumpulan  lelaki bermotosikal kerana berlumba di kawasan berkenaan kira-kira pukul 2 pagi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Asri berkata pihaknya telah menahan tujuh lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Kami masih lagi memburu antara tiga ke empat lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu," katanya. - Bernama