Beliau berkata, rakyat juga perlu berhati-hati dengan 'petualang moden' terutama membabitkan portal berita luar termasuk Sarawak Report yang mungkin didalangi pendukung ideologi tertentu di peringkat global.

"Jika mendapat maklumat daripada portal seperti itu, kita sepatutnya terus 'bakul sampahkan' sahaja berita berkenaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Melor di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi London semalam yang menolak hampir keseluruhan kenyataan pembelaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown terhadap saman dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung artikel portal itu yang diterbitkan pada 6 Ogos 2017.

Annuar berkata, keputusan tersebut menjadi satu lagi episod tambahan yang membuktikan portal berita itu tidak berwibawa, berniat jahat serta mempunyai agenda tersembunyi.

"Sebelum ini, Sarawak Report sudah berkali-kali dianggap sebagai portal upahan dan terbukti menyampaikan berita tidak benar yang bukan berasaskan fakta sebenar," katanya sambil menambah portal seumpama itu biasanya beroperasi di luar negara untuk terlepas daripada undang-undang negara ini. 

Mahkamah Tinggi London yang bersidang hampir empat jam bagi mendengar permohonan Abdul Hadi itu juga mendapati Rewcastle-Brown dengan secara rasmi telah meninggalkan permohonannya untuk meminda pembelaan beliau untuk menggunakan rakaman audio yang didakwa milik Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Mahkamah turut memutuskan agar Rewcastle-Brown membayar kos RM227,700 dalam tempoh 14 hari dan menetapkan April 2019 sebagai tarikh perbicaraan kes. - Bernama