Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani menjelaskan, fenomena seumpama itu akan berlaku setiap kali air pasang mula menjadi surut di kawasan berpasir seperti pulau nelayan itu.

"Fenomena kerang timbul di Pulau Ketam yang merupakan kawasan penternakan kerang merupakan perkara biasa setiap kali menjelang kejadian air pasang besar.

"Kerang itu kelihatan seolah-olah muncul di permukaan kawasan berpasir Pulau Ketam sebab air pasang mula surut lebih rendah dari keadaan biasa yang boleh mencecah sehingga paras 0.6 meter pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Samsol Maarif mengulas mengenai gambar dan maklumat yang menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seolah-olah kemunculan beribu-ribu kerang spesies lokan dan lala di pulau itu yang dikaitkan dengan petanda awal bencana alam.

Sebelum ini, sebuah portal, MalaysiaGazette yang memetik laporan media sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan fenomena kerang keluar daripada tanah dengan banyaknya sehingga kawasan berpasir Pulau Ketam dipenuhi haiwan laut itu berlaku Ahad lepas. - Bernama