Kata Ayda, 26, tindakan seperti itu hanya akan memberi tekanan kepada Farid yang sedang berdepan dengan masalah tersebut.

“Sebagai rakan artis, apa yang boleh saya katakan adalah berhentilah memberi komen negatif sebab kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya kepada dia.

“Saya sedar perkara yang berlaku ini telah mencalarkan kredibiliti dan imejnya sebagai seorang anak seni yang dikenali ramai. Sebab itu berhentilah memberi lebih tekanan kepadanya dan keluarga,” kata Ayda ketika ditemui pada majlis final pencarian Gadis Panca-NR di Dewan Utusan sebentar tadi.

Tambah Ayda yang muncul dalam filem Pinjamkan Hatiku bersama Farid pada tahun lepas, dia menyifatkan pelakon dan pengarah itu sebagai seorang lelaki yang baik.

“Farid sangat baik dan saya sendiri sudah menganggapnya sebagai abang. Apabila perkara ini berlaku, ia sangat mengejutkan. Doalah yang baik-baik dan biarlah pihak berkuasa yang menyelesaikannya,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Farid, 36, ditahan polis selepas dia mengamuk dan menampar seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Cawangan Trafik Kota Damansara semalam. - K! ONLINE