Nasihat itu diberikan selepas adik Ainul tiba di Malaysia pada pukul 7 pagi tadi selepas kira-kira dua bulan di UK menjalani rawatan membuang ketumbuhan di mulut seberat 200 gram.

"Saya merayu rakyat Malaysia supaya beri ruang kepada adik Ainul untuk berehat kerana dia masih dalam proses pemulihan dan perlu dipantau," jelasnya melalui InstaStorynya sebentar tadi.

Dr. Amalina turut merayu agar orang ramai tidak melawat adik Ainul secara beramai-ramai kerana ia mempunyai risiko untuk bayi itu mendapat jangkitan.

"Terima kasih atas kerjasama anda, Alhamdulillah Ainul sudah selamat sampai," ujarnya lagi.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Ainul Mardhiah telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Great Ormond Street pada 10 Jun lalu.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof. David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr. Nur Amalina Che Bakri. -K! ONLINE