Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk merapatkan lagi jurang perbezaan pencapaian ekonomi yang dialami rakyat sekarang sebagai langkah yang dapat mempercepatkan lagi kemajuan negara. 

"Kerajaan akan terus berusaha merapatkan (lagi) hubungan (antara golongan) miskin dan kaya supaya kekayaan negara kita dapat diagih bersama. Jangan samakan identiti kaum dengan kaya dan miskin," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Perpaduan di Dewan Sri Pinang di sini. 

Perhimpunan berkenaan bersempena sambutan Hari Perpaduan dan Ulang Tahun ke-15 Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP).

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Pengerusi MPMNPP, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff. - Bernama