Jurucakap Polis bagi PRK berkenaan, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, seramai 1,200 orang anggota akan ditugas pada hari pengundian esok melibatkan semua bahagian dalam unit pasukan tersebut.

Katanya, selain penglibatan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan Klang Selatan, pihaknya akan turut dibantu oleh anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman.

"Semua persediaan berjalan lancar, anggota yang kita tugaskan juga mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan esok. Kita akan tempatkan semua anggota di semua kawasan pengudian.

"Nasihat saya kepada semua penyokong parti politik supaya tidak melakukan sebarang kekacauan atau provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara pada hari pengudian esok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.

Tambah Baharuddin, bagi memastikan kelancaran lalu lintas di tempat mengundi esok, pihaknya ada menempatkan anggota-anggota traffik di kawasan yang telah dikenalpasti.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan mengikuti arahan anggota kami agar perjalanan pengundi untuk melakukan tanggungjawab mereka dapat berjalan dengan lancar," katanya.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy. - K! ONLINE