Beliau mengesahkan ujian analisis ke atas sampel kopi pracampuran itu, mendapati ia mengandungi  bahan kimia psikoaktif iaitu sejenis dadah, yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali kepada dua lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih yang teruk selepas meminumnya.

"Sebelum ini, kami menerima lima pesakit dan semalam dua lagi kes yang sama juga. Mereka menerima kopi daripada orang yang tidak dikenali dan mempunyai simptom yang sama, nampaknya  semacam ada sindiket. Mereka memberi peket berisi kopi yang mengandungi dadah.

Orang ramai mesti berhati-hati, jangan terima sebarang benda daripada orang yang tidak dikenali. Kami akan siasat termasuk menganalisis manakala di pihak polis perlu siasat untuk mengetahui mengenai  sumber daripada mana dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat rawatan perubatan holistik, di sini hari ini.

Seramai lima individu termasuk dua wanita mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang sejak Ahad hingga Selasa selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum sejenis kopi. - Bernama