Beliau yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selama ini Najib hanya diadili di mahkamah media dan bukannya mahkamah sebenar. 

"Biar mahkamah jalankan proses perbicaraan dengan adil dan telus, kita mengharapkan supaya dia (Najib) diberi keadilan dan jangan kita menghukum sebelum mahkamah menghukum.

"... dan kita juga jangan aibkan dia sebelum dia terbukti bersalah oleh mahkamah," katanya. 

Justeru, beliau menyeru rakyat yang beragama Islam untuk kembali kepada prinsip yang diajar dalam agama dan undang-undang sebelum bersangka buruk terhadap Najib. 

Terdahulu, Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi pendakwaan berhubung dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di sini pada 2.35 petang semalam dan dibawa ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. - Bernama