Lebih menyedihkan, seorang daripadanya merupakan kanak-kanak lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia setahun manakala seorang lagi berusia tujuh tahun. 

Menurut sumber, semasa serbuan dilakukan pukul 10 pagi itu mendapati wanita berusia 27 tahun itu menagih dadah bersama bekas suaminya, bapa tiri dan adik lelakinya di ruang tamu pangsapuri berkenaan. 

Katanya, kanak-kanak lelaki OKU yang merupakan anak kepada wanita itu juga didapati mempunyai penyakit paru-paru berlubang, gigi sumbing dan masalah tulang belakang dipercayai kesan pengambilan dadah semasa mengandung. 

"Siasatan mendapati, kesemua suspek telah terlibat dalam najis dadah sejak setahun lalu dan positif syabu. 

"Ibu kepada anak-anak tersebut juga didapati masih bersekedudukan dengan bekas suaminya walaupun telah bercerai dan tinggal di kawasan tersebut sejak enam tahun lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Sumber turut memaklumkan dalam operasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu, dua kanak-kanak tersebut termasuk seorang lagi anak wanita tersebut berusia 10 tahun yang diambil dari sekolah berhampiran telah diserahkan kepada JKM.

Kata sumber tersebut, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman selama 14 hari terhadap kesemua suspek tersebut esok. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983," jelasnya. 

Sementara itu, Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Klang, Baharuddin Ahmad mengesahkan perkara berkenaan. - K! ONLINE