Terdahulu, pada 10.45 pagi tadi, Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam tahun lepas.

Bernama difahamkan, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan Jamal.

"Beliau (Jamal) telah didakwa atas tiga pertuduhan hari ini di hospital berkenaan dan majistret telah menawarkan ikat jamin RM 3,000 untuk setiap kes.

"Ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang dilakukan petang tadi, beliau telah meninggalkan kawasan hospital," katanya.

Fadzil berkata, Jamal akan dihubungi semula bagi menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah tersebut.

Hari ini, Jamal mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di  hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Prosiding kes itu dijalankan di hospital berkenaan berikutan Jamal sedang mendapatkan rawatan bagi masalah sakit belakangnya.

Jamal berhadapan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan dan mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Oktober  tahun lepas, Jamal bertindak memecahkan botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu. - Bernama