Dalam membuat cadangan itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, berkata perkara ini, jika digabungkan dengan semakan semula kadar tol yang akan diumumkan awal minggu depan, akan mengurangkan lagi beban kewangan rakyat untuk jangka panjang.

Katanya, MBO itu boleh dilaksanakan dalam masa setahun atau dua tahun akan datang apabila kerajaan baharu ini mengukuhkan kedudukan kewangannya.  

Beliau membuat kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap pertanyaan yang dikemukakan sewaktu siaran langsung program Biz Talk Bernama News Channel (BNC) yang dihoskan oleh  Mikhail Raj Abdullah, Jumaat lalu.

Wong juga mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan MBO terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendapat kritikan kerana bersaing dengan firma sektor awam.

Dalam melaksanakannya kata Wong, pengurus di GLC harus memastikan syarikat berkenaan membuat keuntungan yang lebih baik yang dapat disalurkan semula kepada kerajaan Persekutuan dan digunakan untuk mengurangkan hutang negara selain membantu rakyat. 

Ini dapat mewujudkan pemilik-pengurus yang hebat dan seterusnya mewujudkan ruang persaingan yang sama rata terhadap syarikat sektor awam lain.

Beliau juga menyatakan bahawa adalah terbaik jika ahli politik tidak memegang jawatan dalam GLC.

GLC seharusnya dipisahkan daripada pengaruh langsung kerajaan, tambahnya.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu berkata, kerajaan seharusnya mengkaji pilihan ini dalam usaha mengumpul lebih banyak perolehan untuk dananya sebelum melaksanakan MBO terhadap syarikat pemegang konsesi tol dan GLC. 

"Sama ada kita mampu untuk membeli syarikat tol ini dan menjadikan ianya percuma, ia adalah isu kebijaksanaan fiskal dan apakah seharusnya menjadi keutamaan ekonomi," katanya. 

Wong berkata, melalui semakan semula kadar tol, pengguna seharusnya membayar lebih rendah dan "ianya sekurang-kurangnya permulaan" dalam mengurangkan beban rakyat. 

Berkenaan sama ada satu keperluan mendesak untuk memecahkan monopoli atau kartel di beberapa sektor dan membenarkan persaingan sihat, katanya mereka ini boleh dikawal dan memastikan mereka tidak membuat keuntungan yang sangat tidak berpatutan. 

"Pendekatan ini pada  pandangan saya, apakah mereka membuat keuntungan yang terlalu besar dengan mengorbankan pengguna," katanya.

Melalui pembatalan kawal selia, pemberian lesen boleh dipermudahkan bagi mewujudkan persaingan yang lebih besar seperti dalam sektor telekomunikasi.

Satu ciri umum landskap perniagaan di Malaysia adalah monopoli, yang mana, syarikat yang ada kaitan dengan parti politik sebenarnya adalah kartel dalam bidang seperti pemegang konsesi yang mengendalikan lebuh raya bertol dan telekomunikasi. - Bernama