Sebanyak dua jambatan dan satu jalan di sekitar bandar ini ditutup kerana dinaiki air awal pagi ini.

Antara jalan yang ditutup ialah jalan Kampung Tiong, jambatan Sungai Ketil di Kampung Kerinting dan jambatan Sungai Cindai di Jalan Bandar Lama.

Kesemua dinaiki air mulai pukul 6 pagi apabila hujan berterusan bermula pukul 3 pagi menyebabkan air sungai naik mendadak. 
     
Menurut seorang penduduk di Kampung Tiong, Mohd. Zulkifli Harun, 43, laluan jalan kampung itu dinaiki secara mengejut hingga kebanyakan kenderaan terkandas dan urusan penduduk tergendala.

Bagaimanapun, katanya, mereka menggunakan laluan alternatif untuk melalui Jalan Gua Musang-Jeli untuk ke bandar Gua Musang walaupun jarak perjalanan jauh sedikit. 
     
“Saya terkejut apabila melihat keadaan air Sungai Galas naik dengan cepat selepas berlaku hujan lebat beberapa jam sehingga air melimpah ke atas jalan itu. 
   
“Kebiasaannya air sungai yang naik itu cepat surut sebaik hujan berhenti tetapi setakat pukul 9 pagi ini air belum surut lagi kerana hujan renyai-renyai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk di Kampung Kerinting, Mohamad Ali Hussin, 45, pula berkata, kejadian jambatan merentasi Sungai Ketil di kampung itu tenggelam pertama kali berlaku tahun ini. 
     
Katanya, tahun lalu kejadian itu berlaku secara berulang sehingga lebih 10 kali apabila setiap kali hujan lebat kerana air sungai cepat naik dan kedudukan jambatan besi rendah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan dua jambatan dan satu jalan ditutup kerana dinaiki air. 
     
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati apabila melalui laluan berkenaan menggunakan laluan alternatif lain.

“Kita juga telah mengerahkan anggota untuk berkawal di kawasan yang mudah dinaiki air seperti di kawasan Batu 5, Kampung Pulau Setelu dan Kampung Limau Kasturi,” katanya. - K! ONLINE 

Jambatan Sungai Cindai di Bandar Lama Gua Musang turut dinaiki air.
Jambatan Sungai Cindai di Bandar Lama Gua Musang turut dinaiki air.