Hukuman itu dibuat Majistret Mohd. Firdaus Saleh selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, A. Sivaraj, 30, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas Muhamad Khalis Muhamad, 21, di tempat letak kereta luar bangunan Micost, Lebuh Ayer Keroh di sini pada pukul 11 malam, 19 September 2017.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dan seorang rakan yang sedang berjalan kaki melihat tertuduh berada di atas motosikal dan melambai ke arahnya.

Mangsa kemudian terdengar bunyi deruman motosikal dari belakang dan mendapati tertuduh sedang meluru ke arahnya sambil memegang sebilah parang sebelum melibasnya namun tidak kecederaan dilaporkan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam, S. Gunalan. - K! ONLINE