Pengarahnya, Norbaya Jamaludin berkata, langkah tersebut dijalankan pihaknya sejak pukul 11.30 pagi tadi susulan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pemilih berdaftar di DUN tersebut.

Katanya, antara kawasan dilalui untuk hebahan tersebut adalah sekitar Bandar Puteri, Taman Sri Andalas, Sungai Jati, Jalan Kota Raja, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Sekolah Rendah Agama Kampung Jawa dan Jalan Kebun.

"Ini merupakan tugas yang telah dipersetujui hasil mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu menubuhkan pusat media dan melakukan hebahan kepada orang ramai untuk keluar mengundi.

"Kita menjalankan tugas itu selepas SPR mendapati peratusan mengundi rendah," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Jelas beliau, langkah hebahan itu adalah perkara biasa dilakukan jabatan tersebut terutama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRK.

Sementara itu, mengikut laman rasmi SPR mendapati hanya 45 peratus daripada 51,230 pengundi keluar mengundi setakat pukul 4 petang tadi.

SPR sebelum ini menyasarkan 80 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dalam memilih wakil rakyat baharu dalam PRK itu.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menentang calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam serta calon Bebas, K. Murthy. - K! ONLINE