Operasi selama empat jam bermula pukul 1 pagi itu melibatkan 95 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Selangor berjaya menahan seramai 19 orang PATI.

Pengarah Jabatan Imigeresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan selama seminggu pihaknya serta aduan awam mengenai kehadiran PATI di tapak pembinaan tersebut.

Katanya, ketika serbuan, sebahagian besar warga asing tersebut sedang tidur dan sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa ada segelintir daripada mereka cuba melarikan diri.

"Dalam serbuan itu, kita telah memeriksa seramai 123 orang dan hasilnya kita berjaya menahan 19 orang warga asing yang terdiri daripada 16  lelaki dan tiga wanita.

"Mereka yang ditahan itu termasuk 17 orang warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Shukri berkata, kesemua PATI yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, pihaknya juga akan turut mengesan majikan yang dipercayai telah menggajikan PATI tersebut dan tindakan tegas termasuk mendakwa di mahkamah akan dilakukan dalam masa terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah serta  Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa. - K! ONLINE