Izreen membuat pengumuman tersebut menerusi akaun Instagramnya sekitar pukul 12 tengah hari tadi dengan memaparkan gambar imbasan ultra bunyi berserta kapsyen: "Syukur Alhamdulillah."

Izreen ketika dihubungi Kosmo! Online meluahkan rasa syukur terhadap kehamilannya dan berharap bakal menimang cahaya mata perempuan selepas memiliki seorang anak lelaki Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun daripada perkahwinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin.

Ude juga memiliki dua orang anak lelaki iaitu Arish Muqri, empat tahun dan Ariq Muqri, dua tahun hasil perkahwinan terdahulunya.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki cahaya mata yang dikurniakan Allah. Kalau disoal saya mahukan anak perempuan, tetapi andai dikurniakan anak lelaki juga saya tidak kisah.

"Saya cuma harapkan kesihatan yang baik sepanjang tempoh kehamilan sehinggalah saat bersalin kelak yang dijangka sekitar Julai depan," ujarnya.

Dalam pada itu, Izreen mendedah kehamilan kali ini amat berbeza apabila kerap mengalami pendarahan selain cepat berasa letih.

"Kehamilan kali ini amat berbeza kerana saya dinasihatkan doktor untuk lebih banyak berehat dan tidak boleh mengangkat barang berat kerana kerap alami pendarahan," kongsi Izreen.

Terdahulu Izreen mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan telah menjadi isteri kedua Ude yang merupakan seorang pemuzik dalam sebuah majlis pernikahan secara tertutup di Damansara, Selangor pada 8 Ogos 2017.

Ude kemudiannya menceraikan isteri pertamanya pada 22 Mac tahun lalu. - K! ONLINE