Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kebenaran bergantung atas nasihat pihak berkuasa itu.

"Kita perlu mengambil kira nasihat daripada pihak polis memandangkan ia melibatkan isu keharmonian, perpaduan dan keselamatan masyarakat di negeri ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya percaya tindakan polis Perlis menasihati pendakwah itu supaya tidak terlibat dalam slot ceramah pada program Malaysia Reverts Camp pada Jumaat lalu dilakukan atas faktor dan penilaian tertentu.

"Polis beri nasihat atas sebab tertentu dan saya lihat isu keharmonian dan keselamatan sedikit terganggu susulan kontroversi melibatkan Dr. Zakir kebelakangan ini.

"Atas dasar itu, saya sarankan agar sebarang ceramah berkaitan pendakwah itu tidak diadakan di negeri ini buat sementara waktu," ujarnya.

Walaubagaimanapun, kata beliau, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang permohonan program atau ceramah membabitkan pendakwah terbabit di negeri ini.

"Situasi pada masa ini masih panas, jadi saya rasa tidak perlu kita simbah lagi minyak pada api kerana bimbang akan jadi lebih parah," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk Zakir mengadakan ceramah di negeri ini sekiranya situasi mengizinkan dengan nasihat daripada pihak polis.

"Dr. Zakir pernah memberi ceramah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dekat sini pada April lalu dan kita tidak mempunyai halangan sekiranya situasi dalam keadaan baik," katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan polis menyambung proses rakaman percakapan Zakir susulan dua aduan yang diterima polis terhadap pendakwah terkenal itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, aduan itu membabitkan kenyataannya bahawa penganut Hindu tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia sebaliknya menyokong Perdana Menteri India serta meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia. - K! ONLINE