Zakir hadir di Bukit Aman selepas solat Jumaat hari ini dan dilihat meninggalkan ibu pejabat polis itu pada pukul 8.15 malam ini.

Beliau yang berpakaian putih dan berkopiah, kelihatan meninggalkan Bukit Aman dengan sebuah kereta jenis Toyota Innova dan cuba ditahan anggota media bagi mendapatkan ulasannya, namun tidak berjaya. 

Setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Bukit Aman mengenai kehadiran Zakir di Bukit Aman.

Antara kenyataan kontroversi Zakir ialah semasa ceramahnya pada 3 Ogos, di mana beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Mahathir.

Beliau juga turut dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap masyarakat Cina di Malaysia dengan berkata mereka perlu diusir terlebih dahulu sebagai respons kepada desakan supaya beliau diusir dari negara ini.

Semalam, polis telah menerima 115 laporan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung isu berkenaan.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PDRM akan memanggil Zakir untuk disoal siasat polis berhubung kenyataannya yang dikatakan berbaur perkauman.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri, Tun Dr .Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, masalah yang dihadapi kerajaan ialah Zakir, tidak boleh dihantar balik ke negara asalnya, India, kerana bimbang dibunuh.

Bagaimanapun, beliau terbuka kepada sebarang cadangan untuk menghantar Zakir ke mana-mana negara yang mahu menerima penceramah itu. - Bernama