Maszlee dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu, PPD Johor Bahru akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan.

"Saya telah menerima laporan berkenaan kejadian di mana seorang guru telah merotan seorang murid perempuan kerana menegurnya tanpa sebab dengan ayat berbunyi 'ah qua lao shi" (cikgu pondan) ketika guru tersebut lalu di koridor.

"Sehubungan itu, saya mengambil maklum akan kejadian ini dan telah mengarahkan
pihak PPD untuk menjalankan siasatan agar keadilan dapat diberikan kepada kedua
pihak iaitu guru dan murid terbabit," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Maszlee berharap penularan video dan gambar-gambar berkaitan kes itu dihentikan demi menjaga imej guru dan murid tersebut.

"Ini seterusnya memberi ruang kepada PPD Johor Bahru dan pihak terbabit untuk menjalankan tugas menjalankan siasatan sebaik mungkin," ujarnya.

Pada masa sama, Maszlee menegaskan, sebarang bentuk kekerasan ke atas murid haruslah ditolak sama sekali.

"KPM positif perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat, mengikut tatacara dan prosedur operasi standard yang bersesuaian," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki ekoran anak perempuannya dirotan.

Difahamkan, guru lelaki berkenaan merotan murid perempuan itu disebabkan dia bersikap kurang ajar dengan menggelarkan cikgu berkenaan sebagai pondan. - K! ONLINE