Menurut Nasharudin, beliau juga menyerahkan penyata kewangan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) yang dipimpinnya sebelum ini sebagai bukti yang menyokong keterangannya dalam siasatan kes tersebut.

Jelasnya, beliau juga telah memberi keterangan mengenai sumber kewangan dan dana dikeluarkan berdasarkan semua dokumen yang termaktub dalam penyata kewangannya.

"Saya berpuas hati dalam pertemuan dengan pihak SPRM. Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang oleh SPRM untuk membuat penjelasan dengan bukti.

"Apabila SPRM diberi ruang untuk membuat siasatan, saya harap semua pihak contohnya mereka yang mengatakan mempunyai bukti untuk tampil ke hadapan dan membawa bukti berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan lebih tiga jam di ibu pejabat SPRM di sini hari ini berhubung dakwaan kes tersebut.

Kosmo! Online semalam melaporkan SPRM akan memanggil empat saksi hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut.

Keempat-empat saksi itu terdiri daripada ahli politik dan individu dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO). SPRM juga sedang mendapatkan beberapa dokumen dari pihak bank.

SPRM akan memulakan siasatan ke atas dakwaan beberapa pemimpin Pas menerima wang sebanyak RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Selain Nasharudin, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes sama di SPRM Kelantan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa yang dilaporkan akan hadir ke SPRM hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes sama bagaimanapun tidak kelihatan di ibu pejabat suruhanjaya itu.

Menurut sumber, Husam tidak dimaklumkan untuk tampil ke SPRM di sini untuk membantu siasatan kes tersebut.

Sementara itu, Nasharudin berkata, beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan berhubung kes itu.

Jelasnya, beliau yakin dengan profesionalisme pihak SPRM dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada suruhanjaya itu.

"Biar SPRM siasat dan buat kenyataan sekiranya ada atau tidak mengenai dakwaan itu untuk merungkai kebenaran," katanya. - K! ONLINE