Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu tidak perlu dilanjutkan dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan.

"Tidak perlu campur tangan. Polis sudah campur tangan. Biar polis membuat kerja mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis graduasi Penang Skills Development Centre (PSDC) di sini hari ini.

Kon Yeow diminta mengulas tentang dua kumpulan yang mengadakan demonstrasi terhadap Ramasamy di hadapan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam.

Satu kumpulan demonstrasi itu yang disertai kira-kira 50 penyokong menyatakan pendirian mereka menyokong Ramasamy serta turut mengadakan solidariti kepada Timbalan Ketua Menteri itu yang dianggap ‘penggana’ oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Manakala kumpulan kedua terdiri daripada 300 orang dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam menyuarakan bantahan dan menyerahkan memorandum bagi meminta Ramasamy meletakkan  jawatan jika tidak dapat memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan LTTE.

Ditanya adakah beliau (Kon Yeow) sudah melihat memorandum yang diserahkan oleh kumpulan NGO itu, Kon Yeow berkata “belum sempat melihatnya”.

Ramasamy sebelum ini dilaporkan berkongsi gambarnya bersama anggota LTTE dikenali sebagai Vaiko atau V. Gopalasamy.

Melalui keterangan gambar yang dimuat naik di laman Facebook Ramasamy, kehadiran Vaiko di Pulau Pinang adalah sebagai memenuhi undangan majlis perkahwinan.

Susulan penularan gambar itu yang tular di media sosial telah menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan di Sri Lanka yang dianggap sebagai pengganas oleh beberapa negara.

Selain itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan dan lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy dibuat kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas LTTE. - Bernama