Menurut Rozi Abdul Razak, pengendali akaun media sosial dan laman YouTube hanya mengambil sebahagian daripada video yang dimuat naik di akaun Instagramnya sekali gus membuatkan netizen telah memberikan komen yang sangat negatif terhadap pengantin.

Dalam video itu, pasangan mempelai tersebut, Siti Fairuz Ibrahim dan suaminya, Mohd. Hafiz Moh dilabel dengan bermacam tuduhan seperti pengantin tidak jadi tumpuan, pengantin tidak laku dan pengantin 'cuak' gara-gara tetamu yang datang lebih tertumpu kepada Siti berbanding mereka.

“Malah lebih teruk ada yang kata lain kali jangan ajak Siti datang. Anda harus tahu, pengantin menunjukkan reaksi risau kerana walaupun itu adalah majlisnya, namun dia masih berasa tanggungjawab sebagai tuan rumah dan staf kepada Siti. Jadi sudah tentu dia mahu memastikan beliau dapat menjamu selera dengan selesa.

“Tidak timbul soal tidak suka, tidak senang dengan kehadiran Siti kerana anda tidak tahu betapa besar harapan pengantin untuk beliau hadir ke majlis tersebut,” tulisnya di Instagram.

Malah Rozi turut mempertikaikan tindakan tidak wajar pengendali akaun tersebut yang tidak menerangkan status sebenar hubungan pengantin dengan pelantun lagu Comel Pipi Merah itu. - K! ONLINE