Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, kos program pemulihan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui peruntukkan Asnaf Al-Riqab. 

Katanya, MAIS telah bertindak secara proaktif dalam memulihkan dan memerdekakan LGBT ini sejak tahun 2012 seperti yang dinyatakan dalam Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al-Riqab Negeri Selangor dan apa-apa berkaitannya dengannya yang diwartakan pada 7 Jun 2012

"Kesemua program pemulihan itu adalah dijalankan oleh institusi, pusat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam bagi melindungi, merawat dan memerdekakan golongan tersebut supaya dapat menjalani kehidupan sempurna menurut acuan Islam. 

"Justeru, MAIS menasihati semua pihak terutama umat Islam di negara agar tidak terburu-buru membuat spekulasi dan tuduhan tidak berasas tanpa merujuk kepada keseluruhan fatwa itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, tindakan menyebarkan maklumat tidak benar seperti ini merupakan satu fitnah yang besar dan mengakibatkan agensi yang terlibat menyantuni golongan ini dipandang hina oleh masyarakat.

Sehubungan itu, Mohammed Khusrin menyarankan semua pihak yang terlibat dengan masalah sosial dan aqidah untuk menyertai program-program pemulihan yang terdapat di rumah-rumah pemulihan yang berdaftar dengan MAIS dengan menghubungi Bahagian Ar-Riqab MAIS ditalian 03-33614080. 

Jabatan Mufti Selangor sebelum ini menyenaraikan 10 golongan yang terbelenggu dengan gaya hidup sonsang layak menerima zakat Asnaf Al-Riqab seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 14 Mei 2012. 

Senarai 10 golongan itu terdiri daripada LGBT, pelacur, pengkid, tomboy dan bersekedudukan dengan orang bukan Islam. - K! ONLINE