Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, punca lambakan graduan doktor dan jururawat itu disebabkan peningkatan keluaran graduan perubatan dari institusi pengajian tempatan dan luar negara.

"Sebab kedua lambakan itu adalah kerana kementerian melaksanakan Dasar Mengoptimumkan Sumber Manusia bermaksud tiada tambahan jawatan baharu ditawarkan kecuali secara tukar ganti  atau agihan semula," katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Dzulkefly berkata, kementerian mengambil perhatian terhadap isu berkenaan dan bagi mengatasinya kementerian telah mengambil langkah-langkah berikut:

Mengubah kaedah lantikan secara tetap kepada lantikan secara kontrak, menerusi kaedah ini pegawai berpeluang menjalani latihan siswazah serta mendapat Pendaftaran Penuh selaras yang disyaratkan di dalam Akta Perubatan 1971 bagi meningkatkan kemahiran klinikal dan pengalaman pegawai.  

Menguatkuasakan moratorium bagi program perubatan dengan pihak Kementerian Pendidikan sehingga 30 April 2021, dengan ini bertujuan untuk mengawal had pengambilan (kuota) graduan perubatan oleh universiti dalam negara.

Tempoh asal adalah selama lima tahun, mulai 1 Mei, 2011 hingga 30 April 2016 dan pada masa ini dilanjutkan sehingga 30 April 2021. - Bernama