Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menerima maklum balas positif daripada pihak berkaitan termasuk pihak pengurusan kuil dan pemaju One City Development Sdn. Bhd. dalam mencari penyelesaian isu itu.

Menurutnya, perbincangan mengenai isu berkenaan akan dibuat secara tertutup, esok.

"Sebenarnya saya adakan dua, tiga pertemuan (bersama pengurusan kuil dan pemaju) berhubung isu itu dan respons sangat positif, satu atau dua minggu Insya-Allah kita akan dapat keputusan mengenainya," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas perbincangan bersama pihak pengurusan kuil dan pemaju yang dijangka esok bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu kuil berkenaan.

Khamis lepas, Amirudin dilaporkan berkata, kuil itu tidak akan dipindah atau diroboh sehingga penyelesaian menyeluruh dicapai.

Beliau ketika itu berkata, kerajaan negeri bersedia menjadi orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pertikaian perpindahan kuil berkenaan. - Bernama