Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, bagi tujuan itu, usaha diplomatik sedang dijalankan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik berhubung isu-isu yang menjadi keutamaan kedua-dua negara.

"Usaha berkenaan selaras dengan kesepakatan yang dicapai antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan di republik itu pada 8 Januari lalu," katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, beberapa mesyuarat membabitkan pemimpin dan wakil kedua-dua negara akan diadakan dalam tempoh terdekat ke arah menggerakkan usaha diplomatik tersebut.

Antaranya termasuklah mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong yang dijadual diadakan pada 28 Januari ini.

"Mesyuarat itu adalah untuk membincangkan dan mencari penyelesaian berhubung isu maritim Malaysia-Singapura serta perkara berkaitan perundangan dan operasi dalam usaha untuk meredakan keadaan dan menyediakan asas bagi perbincangan serta rundingan lanjut," katanya.

Tambah kenyataan itu, pada minggu seterusnya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook juga akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat dari Singapura, Khaw Boon Wan bagi membincangkan isu berkaitan ruang udara antara kedua-dua negara termasuk Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan pelaksanaan prosedur ILS untuk Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

"Usaha berterusan ini menandakan komitmen jitu Malaysia untuk meneruskan penyelesaian isu bilateral dengan Singapura secara aman dan konstruktif berdasarkan kesaksamaan dan saling menghormati," katanya. - K! ONLINE