Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhammad Munir Bani berkata, istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan berkenaan akan diadakan di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.

"Sukacita dimaklumkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk diadakan istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baharu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Sehubungan dengan istiadat pelantikan yang bakal berlangsung ini, Datuk Seri Mohamed Azmin turut melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada tarikh yang sama iaitu 19 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua selepas Pakatan Harapan memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Barisan Nasional (4) dan Pas (1) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet termasuk menamakan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin selesai mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet pada 21 Mei lalu. - K! ONLINE