Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak istana hari ini memaklumkan bahawa surat rasmi daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 7 Jun lalu telah mencalonkan tiga ADUN daripada parti itu untuk diperkenankan Sultan Selangor sebagai calon menteri besar.

Menurut kenyataan itu lagi,  Wan Azizah turut memohon perkenan Sultan Selangor bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan baginda layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 untuk mengangkat sumpah jawatan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

"Surat bertarikh 7 Jun itu daripada Presiden PKR (Wan Azizah) ini juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor kepada tuanku. 

"Setelah diteliti dan mendapatkan pandangan daripada Mohamed Azmin, maka tuanku telah berkenan dengan pelantikan salah seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu Amirudin Shari yang juga ADUN Sungai Tua sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14," jelas kenyataan itu. 

Pada masa sama, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar seperti mana yang diperuntukkan di bawah Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

"Baginda sentiasa mengambil maklum pra syarat di bawah undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor yang mana Tuanku hendaklah melantik seorang anggota Dewan Negeri sebagai Menteri Besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti dewan negeri.

"Syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik hendaklah berketurunan Melayu dan beragama Islam,"ujarnya.

Dalam pada itu, istana Selangor turut menafikan dakwaan Idris kononnya pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar pada 11 Mei lalu tidak mendapat restu daripada parti-parti dalam PH.

"Sebelum pelantikan Mohamed Azmin, ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan iaitu Presiden PKR, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Setiausaha Agung DAP telah menghantar surat kepada tuanku mencalonkan Mohamed Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor. 

"Pencalonan ini dibuat bersandarkan kepada fakta bahawa Mohamed Azmin Ali telah menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini dan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta telah membawa parti Pakatan Harapan memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihan raya umum yang lalu," jelas dalam kenyataan itu. 

Oleh yang demikian, Istana Selangor menegaskan adalah tidak tepat apabila ADUN Ijok itu menyatakan beliau dicalonkan untuk memegang jawatan Menteri Besar. 

Sebaliknya, Istana Selangor sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan ‘convention’ di dalam apa-apa tindakan dan tidak sama sekali campur tangan di dalam isu-isu berkaitan politik. 

Kosmo! semalam melaporkan, Idris mendakwa beliau merupakan satu-satunya calon dipersetujui oleh empat komponen parti PH untuk menjadi Menteri Besar Selangor sebelum Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik memegang jawatan tersebut pada 11 Mei lalu susulan kemenangan gabungan parti berke­naan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). 

Idris mendakwa, Timbalan Presiden PKR itu me­ngangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor selepas PH menang pada PRU-14, ‘tanpa restu’ daripada mana-mana komponen parti berkenaan.

Dakwa Idris, 71, beliau mendapat sokongan majoriti bagi pencalonannya sebagai Menteri Besar Selangor menerusi surat daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah. - K! ONLINE