Ismail, 58, menggantikan Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan sehingga 14 Jun ini, dan ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam sejak 14 Mei lepas.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa ketika mengumumkan pelantikan itu berkata Ismail yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun, berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan menerusi karier perkhidmatannya.

Sebelum pelantikan itu, Ismail ialah Ketua  Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Pengarah Belanjawan Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan Ibu Pejabat Bank Dunia, Washington.

Ismail berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom.

"Saya percaya menerusi pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, akan membolehkan  beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan dan mampu meneruskan  visi Kementerian Kewangan sebagai peneraju strategik keberhasilan kewangan dan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan mampan demi kemakmuran rakyat dan negara," kata Ali. - Bernama