“Jika kita mencapai matlamat perjanjian itu dengan bekerjasama dengan ahli-ahli lain, ia akan tetap berlaku (rundingan). Apabila keluar daripada perjanjian itu, AS telah secara rasmi menjejaskan komitmennya kepada perjanjian antarabangsa.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Luar Negara untuk berunding dengan negara-negara Eropah, China dan Rusia pada minggu-minggu akan datang. Jika pada akhir tempoh yang singkat ini kita dapati bahawa kita boleh mendapat manfaat sepenuhnya daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dengan kerjasama semua negara, perjanjian itu akan kekal,” kata Hassan dalam ucapannya di televisyen.

JCPOA merupakan perjanjian nuklear yang dicapai pada tahun 2015 antara Iran dengan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS, Rusia, China, Britain dan Perancis dan Jerman.

Hassan menambah bahawa Iran bersedia untuk meneruskan aktiviti nuklearnya selepas berunding dengan kuasa dunia lain yang merupakan sebahagian daripada perjanjian itu.

Pengumuman Trump disokong oleh sekutu utama Washington di Timur Tengah iaitu Israel dan Arab Saudi yang mana kedua-duanya merupakan musuh ketat Iran.

Di bawah perjanjian itu, Iran bersetuju untuk mengekang aktiviti nuklearnya sebagai balasan untuk mengangkat sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atasnya oleh kebanyakan negara.

Trump berkata, beliau akan mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas Tehran dengan segera. 

Keputusan tersebut sekali gus memberi tekanan kepada negara sekutunya di Eropah yang merupakan penyokong utama perjanjian itu dan telah menyatakan keengganan untuk mengikut jejak langkah AS mengenakan semula sekatan ke atas Iran. - Reuters