Katanya, keluarga diharap memberi perhatian kepada perubahan iklim yang turut memberi kesan seperti penipisan lapisan ozon, pengeluaran karbon dioksida berlebihan, pengurangan kawasan hijau serta pencemaran air laut dan sungai. 

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, justeru itu, kerajaan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan terus memperkasa peranan keluarga dan komuniti dalam memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. 

“Menerusi Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) yang telah diperkenalkan di 33 komuniti terpilih seluruh Malaysia, ia turut menggerakkan lapan domain intervensi, salah satunya berkaitan perumahan dan persekitaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030, sempena Sambutan Hari Keluarga Antarabangsa (HKA) yang diraikan pada setiap 15 Mei oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan tema Keluarga dan Tindakan Iklim.

Wan Azizah berkata, tema tersebut adalah selari dengan usaha kerajaan untuk membudayakan amalan penjagaan alam sekitar dalam kalangan keluarga dan komuniti sekali gus dapat meningkatkan kelestarian penduduk dengan alam sekitar.

Sehubungan itu, usaha penyebaran maklumat dan kesedaran juga perlu lebih banyak dilakukan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan, pihak swasta, institusi pendidikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), tambahnya. - Bernama