Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, cadangan tersebut adalah bertepatan dengan isu-isu semasa yang sedang berlaku di dalam negara pada ketika ini.

“Institusi keagamaan disaran agar memastikan tanah tempat pusat keagamaan mereka seperti masjid, surau, tokong, gereja serta kuil telah didaftarkan.

“Sekiranya anda dapati tempat-tempat ibadat anda belum didaftarkan, silalah berusaha untuk mendaftarkannya agar tidak timbul permasalahan di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri program Sesi Perjumpaan Ketua Polis Daerah Sentul Bersama Ketua-ketua Agama Daerah Sentul.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul,  Superintenden Heisham Harun serta seramai 45 orang wakil daripada 21 institusi keagamaan di sekitar daerah Sentul.

Menurut Shanmugamoorthy, tempat-tempat ibadat juga digalakkan menganjurkan program-program komuniti yang dilihat mampu menjadi pemangkin dalam merapatkan hubungan pelbagai kaum di Malaysia.

“Ketua-ketua tempat ibadat harus memainkan peranan penting dalam penganjuran program-program sebegini memandangkan mereka mempunyai pengaruh yang baik serta dipandang tinggi dalam masyarakat.

“Program yang dianjurkan juga mungkin mampu menjadi penarik kepada golongan muda untuk ke tempat-tempat ibadat yang secara tidak langsung dapat mendidik mereka tentang kehidupan berkomuniti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shanmugamoorthy menyatakan bahawa sesi perjumpaan bersama ketua-ketua agama tersebut adalah yang pertama kali dianjurkan oleh IPD Sentul serta tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan lagi di masa hadapan.

“Sesi perjumpaan yang pertama kali ini adalah bertujuan untuk bersuai kenal serta mendengar isu-isu komuniti di tempat mereka agar pihak polis sedia maklum serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

“Hari ini kita dapat melihat keterujaan wakil-wakil daripada institusi keagamaan yang hadir serta kerjasama baik yang diberikan dalam sesi kali ini malah kami turut berpendapat program sebegini akan dilakukan lagi di masa hadapan dan mungkin ia boleh diadakan di pusat-pusat ibadat pula,” katanya. - K! ONLINE