Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd. Izzwan Jamalud Din, 35, selepas beliau mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama,  tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu sewaktu kejadian didakwa meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya tidak menangkapnya berkait kes dadah. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu antara pukul 7 hingga 8 malam pada 15 Ogos 2015. 

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Izzwan didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 daripada lelaki sama di sebuah restoran makanan segera di Kuala Berang, Hulu Terengganu kira-kira pukul 6.25 petang, 20 Ogos 2015. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17(a)  akta sama.

Kedua-dua pertuduhan itu membolehkan Mohd. Izzwan dihukum  penjara tidak lebih 20 tahun atau denda ti­dak kurang da­ripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi secara berasingan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE