Tertuduh, Lim Yen Jee, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat didakwa meminta suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, Lau Shie Qun.

Perbuatan itu dilakukan agar tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap perniagaan pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang dijalankan Shie Qun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Bindu Mukim Tongkang Pecah, dekat Batu Pahat pada 12.25 pagi, 4 Oktober 2017

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperoleh rasuah bernilai RM2,500 sebagai balasan bagi alasan sama iaitu agar tidak mengambil tindakan terhadap Shie Qun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Cafe Hotel Landmark pada pukul 6.15 petang, 5 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum Seksyen 24 Akta sama. Pertuduhan kedua tertuduh didakwa mengikut Sekyen 17 (a) akta sama

 Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyahrina Raizan manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.-K! ONLINE.