Abang sulung mangsa, Mohd. Asraf, 31, berkata, selepas insiden kematian adiknya, keluarga bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Katanya, ketiga-tiga pihak berpendirian kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan tindakan seseorang dan bukan kerana dilanggar seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Keluarga saya, KPKT dan JBPM mempunyai pendirian yang sama dan perkara ini sudah dibincangkan sejak awal.

“Disebabkan pendirian yang sama, Syazlin turut mewakili keluarga dan kami tidak pernah sama sekali mahu menyaman KPKT atau JBPM ” katanya tadi.

Mohd Asraf yang pertama kali memberi kenyataan kepada media memberitahu, keluarganya tidak bersetuju dengan hasil penemuan pakar daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pakar berkenaan berpendapat, Muhammad Adib keluar sendiri daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang sedang bergerak dan kemudian mangsa terhumban menyebabkan kecederaan serius hingga mengorbankan nyawa anggota bomba itu.

“Tidak timbul wujudnya konflik kepentingan antara tiga pihak itu iaitu keluarga dikatakan berbeza pendapat dengan KPKT dan JBPM, dan kemungkinan bahawa kononnya keluarga mungkin akan menyaman KPKT dan JBPM.

“Jika kami berbeza pendapat, perkara ini bukan berlaku sekarang sebaliknya sedari awal sebelum inkues berjalan,” ujarnya. - K! ONLINE