Pendedahan tersebut dilakukan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib pada hari kedua oleh saksi ketiga, Ahmad Shahril Othman berdasarkan dakwaannya sendiri terhadap kejadian rusuhan tersebut yang diumpamakan seperti berdepan dengan maut.

Menurut Ahmad Shahril, perilaku perusuh itu berkemungkinan terjadi susulan mereka turut cuba membuka pintu EMRS yang dipandunya dengan tujuan untuk menyerang dan mencederakannya.

"Saya beranggapan kalau pintu saya cuba diceroboh oleh perusuh dengan membukanya dan bertujuan mencederakan saya, tidak mungkin perkara itu tidak terjadi kepada arwah Adib.

"Sedangkan saya tengok kenderaan bomba diserang begitu teruk, tidak mungkin (niat) tidak cederakan anggota bomba," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Shahril membacakan semula laporan polis yang dibuat oleh penyelianya (Badrul) berhubung kejadian menimpa dirinya dan Muhammad Adib pada malam kekecohan di kuil itu di dalam prosiding inkues tersebut.

Inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner. - K! ONLINE