Pada prosiding inkues hari ke-41 hari ini, Koroner Rofiah Mohamad menetapkan 24 Julai sebagai keputusan untuk memanggil pakar Patologi lain atau menamatkan inkues.

Rofiah berkata, tarikh itu juga nanti akan ditetapkan sebagai sebutan mengenai permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas.

"Mengenai permohonan itu, ia masih dalam proses dan saya akan meneliti terlebih dahulu," katanya.

Semalam, Mohd.Kassim Abdul Hamid, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy membuat  penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pemerhati dalam inkues tersebut selepas Tommy menyatakan kecederaan dialami Muhammad Adib bukanlah dipukul pada perenggan ke-5 dan 6 afidavit tersebut. - K! ONLINE