Sebaliknya, kesemua 10 Exco itu merupakan pilihannya sendiri untuk melaksanakan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kebaikan rakyat Johor dan mengulangi bahawa kesemua Exco dipilih adalah satu pasukan yang beliau selesa bekerja dan percaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab membela rakyat dengan baik.

"Sebetulnya, untuk kita membela rakyat, tiada pasukan pun. Cuma pasukan Exco yang ada di keliling saya ini, 10 Exco yang ada ini merupakan satu pasukan yang saya selesa bekerja dengan mereka.

"Tujuan (mereka dilantik) untuk kita menjaga rakyat Johor, jadi tiadalah pasukan A atau pasukan B," kata beliau dalam satu temubual khas di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sahruddin berkata, dengan ada pasukan baharu ini dan kerjasama semua penjawat awam di negeri ini, antara lain adalah untuk memastikan bangsa Johor iaitu rakyat negeri ini mengecapi keadaan aman serta ekonomi baik, sekali gus menjadikan taraf hidup mereka lebih baik.

"Inilah pasukan saya, untuk membela nasib rakyat. Sepuluh Exco itulah pasukan saya untuk membela rakyat," kata Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa ada antara Exco baharu yang dipilih merupakan ‘Pasukan Muhyiddin’ sehingga turut menimbulkan persoalan terdapat campur tangan dari Istana.

Sahruddin yang baru sahaja dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-17 pada 14 April lalu, mengumumkan barisan Exco Johor yang baharu dua hari lepas (Isnin), menyaksikan dua Exco lama digugurkan manakala tiga Exco baharu dilantik.

Beliau menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 8 April lepas.

Dua Exco lama yang digugurkan ialah ADUN Skudai, Tan Hong Pin dan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang manakala tiga Exco baharu adalah ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi, ADUN Tenang, Mohd. Solihan Badri dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon. - Bernama