Kata Sufian, 25, segala yang berlaku merupakan perancangan dan takdir Tuhan untuk menduga kesabaran dirinya atau menemukan jodoh yang lebih baik pada masa akan datang. 

Penyanyi berusia 25 tahun itu juga tidak berniat untuk memanjangkan isu tersebut apatah lagi dengan tujuan untuk meraih publisi semata-mata untuk mempromosikan single baharunya bertajuk Di Matamu.

"Segala yang berlaku ada hikmah kerana Allah mungkin menegur saya atas kesilapan terdahulu atau mahu memberikan yang terbaik di kemudian hari kelak," ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akbar segmen baharu stesen radio Era di Red Box, The Gardens di sini petang tadi.

Sufian menjelaskan perkara itu ketika ditanya tentang dakwaan dia memutuskan hubungan dengan seorang wanita untuk bersama Elfira.

Mengulas lanjut, Sufian turut tidak menafikan dia berasa tidak selesa apabila kerap ditanyakan tentang putus tunang dan memohon maaf kepada semua pihak yang berasa tersinggung dengan tindakannya sebelum ini.

"Saya tidak berniat untuk menyakiti sesiapa atau menggunakan isu ini (putus tunang) demi maraih publisiti mahupun perhatian khalayak. Secara peribadi, saya memohon maaf kepada semua pihak dari segi secara langsung atau tidak, sekiranya ada perbuatan yang menyinggung hati.

"Pada masa akan datang, saya berharap agar tiada lagi mana-mana pihak yang bertanyakan tentang hal ini lagi. Tidak dinafikan, saya berasa tidak selasa apabila kerap diajukan pertanyaan tentang putus tunang," terang penyanyi lagu Terasa Ada itu lagi.

Sebelum ini, Sufian dan Elfira mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober, 2017. Bagaimanapun, sekitar Februari lalu ibu Elfira, Filzah Yusoff mengesahkan pertunangan anaknya telah berakhir. 

Sorotan daripada itu, kedua-duanya sering menjadi perhatian dan perbualan hangat peminat sehingga mengundang rasa kurang senang terhadap keluarga Elfira apabila bapanya, Ahmad Sabri Ariffin mahu Suffian berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai kontroversi putus tunang demi menjaga hati semua pihak. - K! ONLINE