Operasi bermula pada pukul 5 pagi itu dilakukan bagi membanteras kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi operasi terbabit pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 150 warga asing.

"Hasil pemeriksaan, kita telah menahan 107 warga asing dari pelbagai negara termasuk 79 daripada mereka yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Operasi pagi ini bukan sahaja memfokuskan warga asing yang berniaga di pasar-pasar borong tetapi tindakan juga dibuat terhadap majikan yang menggajikan warga asing," katanya ketika ditemui Kosmo! Online selepas selesai operasi terbabit sebentar tadi.

Tambahnya, sepanjang tempoh 1 Januari hingga kelmarin, Imigresen telah menjalankan sebanyak 1,094 operasi Ops Jaja dan Ops Belanja di sekitar pasar borong, pasar malam dan premis-premis perniagaan seluruh negara.

"Kita juga telah menahan seramai 930 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari 4,592 individu yang diperiksa atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.

"Masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukanlah isu baru, namun ramai tidak menyedari golongan itu kini sudah mula menguasai kawasan tersebut," jelasnya.

Mengulas lanjut, warga asing yang ditahan bukan sahaja terdiri daripada pekerja malah terdapat diantara mereka sudah menjadi majikan hasil memonopoli perniagaan secara haram.

"Mereka yang ditahan ini akan dikenakan tindakan tegas selain dihantar pulang ke negara asal dan disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

"Selain pelaksaan operasi, Imigresen juga akan menempatkan pegawainya di kawasan pasar borong untuk tujuan pemantauan dan rondaan secara berkala bagi membanteras perniagaan haram yang dijalankan mereka," ujarnya.

Imigresen juga akan terus komited menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha menangani isu-isu berkaitan PATI secara agresif tanpa sebarang kompromi. - K! ONLINE