Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Awang Mamat berkata, imej itu dirakamkan kira-kira pukul 5.01 petang semalam ketika anggotanya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa kemalangan maut yang tersepit di dalam kenderaan jenis Proton Wira itu.

Menurutnya, semasa berada di lokasi kejadian kemalangan, dia langsung tidak menyedari kehadiran kanak-kanak di lokasi kejadian itu apabila merakamkan gambar dengan menggunakan telefon bimbitnya.

"Sebaik sampai di balai, saya terus membuat laporan kemalangan dan memilih gambar kemalangan untuk dihantar kepada Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dan pihak media.

"Namun saya mendapati imej mencurigakan berada dalam kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan pemandunya maut selepas bertembung dengan sebuah pikap jenis Toyota Hilux," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Awang berkata, sepanjang bertugas sebagai anggota bomba kira-kira 20 tahun lalu, dia tidak pernah berdepan dengan kejadian itu.

Katanya, kawasan kemalangan yang terletak berhampiran Gua Sejuk itu sememangnya kerap berlaku kemalangan maut.

"Laluan itu dianggap kawasan keras kerana tidak jauh daripada kawasan itu sering berlaku kemalangan yang meragut banyak nyawa.

"Baru-baru ini, tidak jauh daripada lokasi itu telah berlaku kemalangan bas ekspres dengan sebuah Proton Persona yang meragut nyawa seorang wanita. Beberapa tahun lalu juga, berlaku kemalangan sehingga meragut nyawa enam beranak," katanya.

Dalam kejadian kemalangan petang semalam, seorang pekerja balak, Mohd. Salimi Mohd. Razali, 34, berasal dari Rancangan Tanah Felda Chiku 1 di sini, maut apabila kereta Proton Wira dipandunya bertembung sebuah pikap.

Mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai dipercayai gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan kenderaan Toyota Hilux dari arah bertentangan. - K! ONLINE