Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang terlibat dengan gejala itu, termasuk budaya menghulur sogokan, suapan serta komisen dan sebaliknya mahu golongan itu mengutamakan profesionalisme dalam menjalankan setiap tanggungjawab.

"Sekiranya ada pegawai DBKLmeminta rasuah daripada kontraktor sila maklumkan, saya ingin buang persepsi orang awam yang melabelkan DBKL sinonim dengan rasuah," katanya ketika ditemui pada sesi perjumpaan dengan lebih 700 kontraktor utama penyelenggaraan DBKLdi Institut Latihan DBKL hari ini.

Sementara itu, beliau menolak khabar angin yang mengatakan DBKL tidak akan membayar kontraktor yang dianggap sebagai kroni kepada parti pemerintah terdahulu.

"Khabar angin itu bertujuan mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan DBKL, semua perjanjian akan dihormati. Pentadbiran baharu PH kita tidak bertindak mengikut perasaandan emosi parti atau politik kepartian.

"Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan (kontraktor) membuat kerja, tuan-tuan dan puan-puan berhak menerima bayaran, sama ada UMNO ke Pas ke, saya tidak kisah yang penting tunaikan tanggungjawab," katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mahusetiap kontraktor menjalin hubungan baik dengan anggota Parlimen yang berkhidmat supaya setiap aduan dapat ditangani segera.

Dalam pada itu, beliau berkata DBKL membelanjakan hampir RM500 juta setiap tahun untuk membayar semua kontraktor yang dilantik serta aduan tertinggi diterima pada 2017 dan tahun ini ialah jalan berlubang, diikuti lampu jalan rosak, selain masalah penyelenggaraan. - Bernama